Pemain bowling wanita negara, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, berpeluang untuk mempertahankan gelaran Olahragawati Selangor apabila sekali lagi tercalon dalam Anugerah Sukan Negeri Selangor 2018 yang akan berlangsung Khamis ini.

Siti Safiyah sekali lagi terpilih untuk berada dalam senarai empat calon bagi merebut gelaran Olahragawati Selangor buat kali kedua.

Kejayaannya meraih pingat emas di pentas Sukan Asia Indonesia 2018 dalam acara trio wanita bersama-sama Esther Cheah dan Syaidatul Afifah Badrul Hamidi melayakkan dirinya untuk terpilih dalam edisi ini.

Bagaimanapun, saingan sengit pastinya membabitkan gimnas negara, Amy Kwan, yang turut cemerlang meraih satu emas, satu perak dan dua gangsa dalam Sukan Komanwel Gold Coast tahun lalu.

"Kami mahu atlet-atlet berasa bangga kerana membawa bendera Selangor dan anugerah ini harus diberitahu kepada umum supaya sumbangan mereka mendapat pengiktirafan daripada pihak kerajaan Selangor," kata pengerusi Majlis Sukan Negeri Selangor, Mohd Khairuddin Othman.

Tahun lalu menyaksikan pemain golf terkemuka negara, Gavin Kyle Green dan Siti Safiyah dinobatkan selaku Olahragawan dan Olahragawati Selangor.

Majlis anugerah edisi ini akan disempurnakan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.