Penembak pistol negara, Alia Sazana Azahari, kecewa apabila terpaksa menunggu lebih lama untuk beraksi semula di Lapang Sasar Subang selepas Kejohanan Menembak Terbuka Selangor, yang sepatutnya bermula esok, terpaksa ditunda.

Keinginan untuk berlatih dan beraksi semula di venue itu cukup didambakan skuad menembak negara selepas hampir setahun ia ditutup ekoran faktor keselamatan.

Pelbagai langkah telah diambil oleh Persekutuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM), namun masalah tempat simpanan senjata api menyebabkan kejohanan itu terpaksa ditunda hingga mendapat lampu hijau daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Saya sedar ia bukan salah persatuan mahupun pihak pengurusan Lapang Sasar Subang.

"Mereka sudahpun melakukan segala-segalanya untuk menaik taraf sistem keselamatan seperti yang diarahkan polis.

"Polis mengarahkan mereka untuk menaik taraf sistem itu dan mereka telah melakukannya.

"Saya tidak faham mengapa ia masih tidak dapat digunakan.

"Ia sudah hampir setahun dan setiap orang memerlukan kejohanan memandangkan kami sudah tidak menyertai sebarang kejohanan selama setahun," katanya.

Meskipun mempunyai tempat latihan alternatif di Majlis Sukan Negara (MSN), Alia Sazana masih menitikberatkan keseluruhan aspek yang diperlukan melibatkan latihan di kawasan terbuka dalam memperbaiki prestasinya.

"Ia sebenarnya satu kekurangan kerana Lapang Sasar Subang merupakan lapangan terbuka.

"Kami perlu berlatih di lapangan terbuka kerana lapang sasar di sini (MSN) merupakan lapang sasar dalaman.

"Fasiliti latihan di sini amat baik, namun kami memerlukan latihan di luar kerana kami memerlukan cuaca, sinaran matahari dan iklim yang sebenar sebagai cabaran sewaktu berlatih.

"Ia merupakan lapangan kebangsaan dan kami memerlukan tempat latihan itu," tambahnya.