Atlet bowling negara, Rafiq Ismail, meletakkan strategi tersendiri bagi meraih undian dalam kalangan peminat sukan tempatan selepas dipilih sebagai pemenang Anugerah Jagoan Nadi Arena (AJNA) 2018.

AJNA yang memasuki edisi kedua menyaksikan Rafiq antara lima calon terbaik susulan kejayaannya meraih pingat emas temasya Sukan Asia Indonesia serta Kejohanan Dunia Lelaki di Hong Kong tahun lalu.

Secara keseluruhan, atlet berusia 21 tahun ini menewaskan empat finalis lain yang terdiri daripada Azizulhasni Awang (berbasikal trek), Ridzuan Puzi (olahraga para), Goh Jin Wei (badminton) dan Syarul Azman Mahen Abdullah (bina badan).

Secara keseluruhan Rafiq meraih 52.04 peratus undian, meninggalkan Jin Wei di tangga kedua dengan 17.16 peratus, Azizulhasni (12.78 peratus), Ridzuan (11.37 peratus) dan Syarul Azman (6.64 peratus).

Lebih menarik, Rafiq turut menjadi pilihan utama peminat sukan tempatan yang merangkumi 40 peratus daripada undian keseluruhan.

Daripada lebih 40,000 undian, dia mendapat pecahan 44.5 peratus.

Jelas Rafiq, strategi untuk "mempromosikan" pencalonannya mendapat sambutan yang baik, terutama dalam kalangan rakan sepasukan serta peminat.

Tambah manis, ini menjadikan kegembiraan berganda buat Rafiq kerana turut meraikan hari lahir anak saudaranya hari ini.

"Kongres Bowling Tenpin Malaysia (MTBC) membantu dalam mempromosikan AJNA menerusi laman web rasmi dan ramai pemain-pemain bowling negara membantu dalam mendapatkan undian," katanya.

Kemenangan Rafiq diraikan dalam program Nadi@1 hari ini, dengan trofi pemenang disampaikan oleh Pengarang Urusan Astro Arena, Ahmad Khawari Isa.

"Kami telah menekankan dari awal lagi bahawa undian daripada peminat sukan tempatan menjadi keutamaan dan anugerah ini adalah untuk keseluruhan warga sukan negara," kata Khawari.