Jaguh boling tenpin negara, Rafiq Ismail, dinobatkan selaku pemenang Anugerah Jagoan Nadi Arena (AJNA) 2018 selepas meraih 52.04 peratus undian keseluruhan.

Rafiq menewaskan empat finalis lain yang terdiri daripada Azizulhasni Awang (berbasikal trek), Ridzuan Puzi (olahraga para), Goh Jin Wei (badminton) dan Syarul Azman Mahen Abdullah (bina badan).

Sebanyak 40 peratus daripada undian AJNA 2018 ditentukan juri awam menerusi platform digital Astro Arena manakala 60 peratus lagi ditentukan oleh pengamal media dan persatuan sukan negara.

Berdasarkan juri awam, Rafiq unggul dengan 44.5 peratus undian.

Dia turut meraih 57.1 peratus undian daripada warga sukan negara.

Pemilihan Rafiq dibuat berdasarkan pencapaian gemilangnya sepanjang tahun lalu yang menyaksikan dia meraih kejuaraan Kejohanan Boling Tenpin Lelaki Dunia di Hong Kong, mengungguli acara masters lelaki Sukan Asia Indonesia selain meraih pingat perak acara trio lelaki dalam temasya yang sama.

Atlet kelahiran Kuala Lumpur itu turut menepati ciri-ciri Jagoan Nadi Arena dengan sentiasa bersikap positif di dalam dan luar gelanggang selain tidak terbabit dengan sebarang kes doping.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Astro Arena kerana menganjurkan anugerah ini.

"Saya juga ingin berterima kasih kepada Kongres Boling Tenpin Malaysia (MTBC), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN).

"Akhir sekali, saya mahu berterima kasih kepada seluruh pengundi-pengundi yang banyak memberikan sokongan kepada saya selama ini," katanya.

Edisi kedua AJNA turut mencatat rekod baru dengan hampir 50,000 peminat mengundi dalam semua platform digital Astro Arena sepanjang kempen selama tiga minggu itu.

Secara keseluruhan Rafiq meraih 52.04 peratus, meninggalkan Jin Wei di tangga kedua dengan 17.16 peratus, Azizulhasni (12.78 peratus), Ridzuan (11.37 peratus) dan Syarul Azman (6.64 peratus)

"Seluruh warga kerja Astro Arena mengharapkan penganugerahan ini dapat menjadi batu loncatan kepada Rafiq dan setiap finalis yang tersenarai untuk menghasilkan prestasi lebih hebat di peringkat antarabangsa," kata Pengarang Urusan Astro Arena, Ahmad Khawari Isa.

Majlis penyampaian trofi AJNA 2018 kepada Rafiq dilakukan oleh Ahmad Khawari dalam rancangan Nadi@1 sebentar tadi.