Atlet muay thai negara, Ain Kamarrudin, bertekad menebus kehampaan dalam Sukan SEA Myanmar, empat tahun lalu, apabila meletakkan sasaran mahu melayakkan diri ke pentas akhir kategori bawah 57 kilogram dalam Sukan SEA Kuala Lumpur.

Ain dilihat jurulatih muay thai, Bernard Radin, sebagai salah satu prospek utama yang mampu membutirkan pingat emas buat Malaysia dalam Sukan SEA nanti.

Namun, atlet kelahiran Kuala Krai, Kelantan ini tidak mahu meletakkan dirinya dalam tekanan selepas kecewa ditundukkan atlet Thailand, Pisal Iamsiri, dalam separuh akhir.

"Sasaran saya di Myanmar adalah untuk membawa pulang pingat buat Malaysia tetapi saya telah tewas dalam separuh akhir kepada wakil Thailand. Kali ini di Malaysia, saya mengimpikan untuk meraih pingat emas," ujarnya.

Ain berkata mentalnya kini lebih bersedia selepas menimba pengalaman baru sejak empat tahun lalu dan tidak gentar berdepan mana-mana peserta.

Malah, dia berasa gembira dengan susunan jadual latihan untuk program Kita Juara 2017 yang dilihat cukup sistematik untuk memperbaiki prestasinya.

"Saya banyak menyertai pertandingan bagi membiasakan diri di dalam gelanggang, saya juga turut menjalani latihan untuk memastikan prestasi saya berada di tahap terbaik."