Pemain skuasy negara, Aifa Azman, bertekad bangkit dalam Kejohanan Skuasy Terbuka Pantai Utara Roberts & Morrow di Australia untuk memburu slot beraksi dalam Kejohanan Dunia di Mesir, Oktober depan.

Sebelum ini, dia dikecewakan dalam aksi separuh akhir Kejohanan Remaja Dunia 2019 kepada pemain pilihan kedua Mesir, Jana Shiha, selain gagal merangkul emas dalam aksi berpasukan bersama Noor Ainaa Ampandi dan Oii Kah Yan.

Bagaimanapun, pemain berusia 17 tahun itu melaungkan keyakinan mampu bangkit selepas pulih daripada kecederaan lutut kaki kiri yang dialaminya baru-baru ini.

Misi terbarunya adalah untuk merebut slot ke Kejohanan Dunia di Mesir dengan syarat perlu muncul juara di Australia, Jumaat ini.

"Sebelum ini, saya perlu fokus kepada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan kembali beraksi Mac lalu," katanya.

Aifa bakal bertemu wakil tuan rumah, Sarah Cardwell, yang juga merupakan pilihan kedua dalam pusingan pertama.

Biarpun pengendalinya, Andrew Cross, mengakui saingan getir menanti, dia optimis peluang sentiasa terbuka.

"Saya telah dipersiapkan oleh jurulatih Malaysia dalam soal kecergasan, kekuatan dan kemahiran.

"Kejohanan bertaraf PSA membolehkan saya menimba pengalaman ketika bertemu dengan pelbagai jenis lawan," tambahnya.