Usaha "Kumpulan B" untuk mendominasi Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) tidak kesampaian apabila Datuk Seri Shahidan Kassim terus diberikan kepercayaan untuk menerajui badan induk itu hingga 2021.

Shahidan memenangi jawatan presiden ASUM buat penggal ke-12 berturut-turut sejak 1995.

Beliau mendapat sokongan 44 ahli gabungan untuk menerajui badan induk itu menerusi proses undian di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini.

Perubahan berlaku bagi jawatan naib presiden 2 apabila Oon Kee Seng menewaskan penyandang, Wee Hong Seng, sementara Datuk Nawawi Reduan mempertahankan kerusi naib presiden 1.

"Hari ini, ASUM telah mengadakan AGM dan kami telah melakukan pemilihan jawatankuasa yang baru.

"Sebahagian besar daripada ahli jawatankuasa ialah ahli lama dan inilah barisan yang dipilih pada hari ini.

"Yang pertama adalah presiden, iaitu saya sendiri, Datuk Seri Shahidan Kassim.

"Yang kedua adalah naib presiden, Datuk Nawawi sebagai naib presiden 1 dan Encik Oon selaku naib presiden 2," kata Shahidan.

Tumpuan turut terarah kepada jawatan setiausaha kehormat apabila Mae Chen menewaskan pencabarnya, Andy Low, 22-17.

Desakan untuk merombak ASUM ternyata gagal walaupun beberapa ahli "Kumpulan B" berjanji akan membawa masuk semula bekas jurulatih skuad terjun negara, Yang Zhuliang, di atas faktor kemerosotan prestasi skuad kebangsaan.

"Ia merupakan hari yang panjang buat kami semua.

"Kini AGM sudah tamat dan kami semua perlu mengetepikan segala perbezaan pendapat.

"Kami perlu bekerja sebagai sebuah persatuan dan disebabkan itulah kami semua berada di sini.

"Segala-gala yang terjadi perlu dilupakan dan memandang ke depan demi sukan ini," kata Mae Chen.