Ketua Pegawai Perubatan, Sukan SEA Kuala Lumpur (KL) 2017, Datuk Dr SS Cheema, meminta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menambah jumlah kakitangan Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS) untuk mencapai hasrat memastikan temasya Ogos depan bebas kes doping.

Dalam masa yang sama, Cheema bersetuju dengan perlantikan Datuk Dr Ramlan Abd Aziz sebagai Pengarah Baru ADAMAS.

Beliau berpendapat Dr Ramlan memiliki kepakaran untuk mengurangkan jumlah kes doping tahun ini, terutama dalam memastikan Sukan SEA 2017 bebas daripada penggunaan bahan terlarang.

Cuma, beliau berharap KBS dapat memudahkan lagi tugas ADAMAS.

"Kalau mahu ADAMAS dapat berfungsi sepenuhnya, mereka perlu ada kakitangan yang cukup.

"Ini bukan sebuah makmal yang memerlukan mereka duduk sahaja.

"Kalau kakitangan mencukupi, barulah mereka boleh turun padang untuk memberi ceramah dan menjalankan ujian doping.

"Dan kemudian barulah ADAMAS boleh bergerak efektif dan ia bagus untuk negara," ujarnya.

Ketika ini, ADAMAS memiliki kurang daripada 10 kakitangan untuk memantau atlet di seluruh negara.

Agensi ini juga diharap dapat merangka program terbaik bagi mengurangkan kes selepas 14 atlet digantung tahun lalu ekoran positif doping.

Cabaran awal Dr Ramlan adalah sembilan pemain sepak takraw yang diarah menghadiri proses perbicaraan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) di Bangkok hari ini selepas dituduh enggan menjalani ujian doping dan memboikot Kejohanan Piala Raja Thai, tahun lalu.