Jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang, membuktikan dirinya dalam kelas tersendiri apabila muncul sebagai Raja Pecut Asia hari ini.

Atlet berusia 31 tahun itu meraih pingat emas acara pecut lelaki individu dalam Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2020 yang berlangsung di Korea Selatan.

Dalam aksi penentuan pingat emas yang berlangsung di Velodrom Pusat Latihan Kebangsaan Jingcheon hari ini, Azizulhasni menewaskan pelumba Jepun, Yuta Wakimoto, 2-1.

The Pocket Rocketman yang tewas dalam pusingan pertama, kembali bangkit memenangi pusingan kedua untuk mengheret perlumbaan ke pusingan penentuan.

Sebaik loceng berbunyi, pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu yang dikawal rapi oleh Wakimoto, melakukan kayuhan sekuat tenaga untuk meninggalkan pelumba Jepun itu di tempat kedua.

Terdahulu, Azizulhasni merekodkan masa 9.977 saat, iaitu keempat terpantas dalam pusingan kelayakan.

"Kemenangan ini amat bermakna ia memberikan mata untuk kelayakan Sukan Olimpik Tokyo. Kejohanan Dunia di Berlin tahun hadapan akan menjadi saingan seterusnya buat saya dan rakan sepasukan untuk memastikan ke Tokyo 2020," kata Azizulhasni.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berpuas hati dengan pencapaian yang diraih Azizulhasni, beliau menjelaskan, "Dia adalah wira Malaysia, atlet yang luar biasa. Dia merupakan seorang atlet yang memberikan tumpuan penuh ke atas komitmennya selaku atlet berbasikal trek negara dan saya berasakan dia mampu mencipta satu lagi kejayaan di Tokyo 2020."

Azizulhasni sebelum ini menyumbangkan pingat perak buat kem negara dalam acara keirin lelaki individu Jumaat lalu.

Seorang lagi pelumba negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, terlepas pingat gangsa apabila tewas 0-2 kepada pelumba Jepun, Tomohiro Fukaya, dalam aksi penentuan pingat gangsa.

Muhammad Shah Firdaus menduduki tempat keenam selepas merekod masa 10.159s.

Dalam kategori junior pula, pelumba negara, Ahmad Safwan Ahmad Nazeri, terlepas pingat gangsa acara pecut individu apabila tewas 0-2 kepada pelumba India, Rojit Singh Yanglem, dalam aksi penentuan pingat berkenaan.

Terdahulu, Ahmad Safwan meletakkan diri dalam kelompok lima terbaik selepas merekodkan masa 10.560s dalam pusingan kelayakan.

-- BERNAMA