Westports Malaysia Dragons belum mahu memikirkan kemungkinan mencabar kejuaraan Liga Bola Keranjang ASEAN (ABL) edisi 2019/2020 ketika kelab itu masih dalam fasa pembentukan semula.

Dragons, antara kelab perintis ABL, muncul juara edisi 2015-2016 sebelum usia lanjut memaksa beberapa pemain tonggak tempatan mengundurkan diri.

Ditambah dengan kehilangan khidmat ketua jurulatih, Ariel Vanguardia, pasca musim kejuaraan itu, Dragons ibarat kembali ke petak permulaan.

Dragons, yang kini dibimbing pengendali kelahiran Australia, Jamie Perlman, sejak kempen 2018/2019 diletakkan sasaran oleh pengurusan kelab itu untuk sekurang-kurangnya ke peringkat play-off.

"Kami menyasarkan slot ke separuh akhir kerana Dragons kini dibarisi pemain-pemain muda. Jadi, masa amat diperlukan sebelum meletakkan sasaran ke final," kata Pengurus Besar Westports Malaysia Dragons, Yakub Hussaini.

Dragons dalam pada itu akan menjadikan edisi kedua Kejohanan Jemputan Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) yang bermula esok sebagai pemanas badan untuk saingan ABL yang akan membuka tirai 16 November depan.

"Objektif Dragons dalam saingan ini adalah persiapan menghadapi aksi pertama ABL nanti. Lawan yang berkualiti dari luar negara akan menjadi kayu pengukur kemampuan pasukan," tambahnya.