Seramai 424 atlet bakal membawa cabaran Sabah dalam Sukan Malaysia (Sukma) Ke-19 yang bakal berlangsung di Perak dari 11 hingga 22 September depan.

Jumlah itu adalah yang terbesar pernah dihantar kontinjen berkenaan dalam sejarah penyertaan luar negeri.

Menteri Belia dan Sukan negeri, Frankie Poon, berkata jumlah itu membabitkan seramai 235 atlet lelaki dan 189 atlet wanita, dengan kontinjen itu bakal bertanding dalam 14 daripada 16 sukan wajib selain menyertai sembilan daripada 13 sukan pilihan.

"Persediaan Sabah untuk menghadapi Sukma kali ini telah bermula sebaik sahaja berakhirnya Sukma Ke-18 di Sarawak pada 2016.

"Maklumat lanjut, termasuk sasaran pingat dan insentif untuk para pemenang pingat, akan diumumkan kelak oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Shafie Apdal di majlis penyerahan bendera negeri Sabah pada 3 September depan," katanya sempena majlis kunjungan hormat dan penyampaian jemputan rasmi daripada kerajaan negeri Perak yang menjadi tuan rumah Sukma Ke-19, di Kota Kinabalu, hari ini.

Kunjungan hormat itu diketuai Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Pembangunan Modal Insan Perak, Howard Lee Chuan How, dan turut dihadiri Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah merangkap ketua kontinjen Sukma Sabah, Arunarnsin Taib; Setiausaha Tetap KBBS, Datuk Awg Damit Ag Anak, Pengerusi Lembaga Sukan Negeri Sabah (LSNS), Datuk Louis Rampas; Pengurus Besar LSNS, Datuk Penyuki Matta; dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Sabah (MSNS), Terrance Edward Pudin.

Frankie berkata sukan wajib yang akan disertai kontinjen Sabah termasuk akuatik (renang/terjun), badminton, berbasikal, bola sepak (padang/futsal), boling padang, gimnastik (artistik), hoki, karate, memanah, olahraga, pencak silat, perahu layar, skuasy dan boling tenpin.

"Selain itu, sukan pilihan yang akan disertai kontinjen Sabah pula ialah angkat berat, golf, judo, muay Thai, petanque, ragbi, sepak takraw, taekwondo dan tinju," katanya.