Penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri, meraih pingat gangsa dalam acara 3 meter papan anjal individu di Pusat Akuatik Gelora Bung Karno, sebentar tadi.

Atlet berusia 19 tahun itu, yang sudahpun meraih gangsa dalam acara 3m papan anjal serirama ketika bergandingan bersama Ng Yan Yee, mengakhiri cabaran Sukan Asia 2018 dengan meraih dua gangsa.

Layak ke pusingan akhir di tempat keempat, Dhabitah mahu memastikan kegagalan meraih pingat dalam acara 1m papan anjal semalam tidak berlaku sekali lagi pada malam ini.

Jumlah 330.75 mata yang diraih Dhabitah selepas lima terjunan sudah cukup buat dirinya meraih gangsa mengatasi pencabar terdekat dari Jepun, Sayaka Mikami.

Pingat emas dan perak dimenangi oleh penerjun China, Shi Tingmao dan Wang Han, yang mempamerkan persembahan yang luar biasa.

"Saya agak gementar ketika beraksi dalam aksi final. Saya gagal melakukan terjunan yang kemas dalam sesi pemanas badan tetapi berpuas hati dengan kemenangan pingat gangsa," kata Dhabitah.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih ke atas setiap individu yang memberikan sokongan kepada saya di sini mahupun di Malaysia

"Saya berharap setiap orang akan terus memberikan sokongan kepada skuad terjun selepas ini."

Ng Yan Yee yang turut beraksi dalam acara hari ini menamatkan saingan di tempat kelima (304.80 mata).

Sementara itu, Jellson Jabilin menamatkan saingan di tangga kelapan dalam acara 10m platfom individu.

Emas dan perak dimenangi wakil China (Yang Jian, Qiu Bo) sementara gangsa milik Korea Selatan (Woo Haram).