Tiada rehat buat ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David, selepas selesai berjuang dalam Sukan Asia Indonesia 2018 apabila terus terbang ke China sebaik sahaja tiba di tanah air semalam bagi menghadapi Kejohanan Terbuka China.

Hanya Nicol yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum dia meneruskan perjalanan ke Shanghai, China untuk kejohanan yang akan bermula esok.

Menamatkan saingan dengan satu pingat emas bagi acara perseorangan cukup memberikan kenangan bermakna bagi penampilan terakhirnya dalam Sukan Asia dan tiada isitilah penat untuk Nicol bagi mengharungi cabaran di China nanti.

Pemain berusia 35 tahun itu bakal berdepan pencabar dari India, Dipika Pallikal, dalam pusingan pertama.

Hanya tiga pemain negara yang akan beraksi dalam kejohanan itu, termasuk Ng Eain Yow dan Nafiizwan Adnan.

"Saya akan terbang ke China bagi memulakan musim baru. 20 pemain terbaik dunia akan beraksi dan saya teruja menghadapi saingan ini," kata Nicol.

Memandangkan Jakarta-Palembang adalah Sukan Asia terakhirnya, Nicol meletakkan harapan tinggi buat pemain muda, S. Sivasangari, pula untuk meneruskan legasi di pentas antarabangsa di mana dia enggan pemain itu terus selesa dengan pencapaian ketika ini.

"Sivasangari telah mencetus impak dalam sukan skuasy buat Malaysia apabila menampilkan persembahan cemerlang tetapi saya menggunakan pengalaman untuk meraih kemenangan ketika kami berentap dalam final," ujarnya.