Pendirian Datuk Seri Subahan Kamal mempertaruhkan jawatan presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) sekiranya skuad hoki lelaki negara gagal layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 diambil serius oleh barisan pemain yang lebih bersemangat untuk memperjuangkan aksi terbaik dalam Sukan Asia 2018.

Subahan dan Timbalan Presiden KHM, Datuk Dr. Shamala Subramaniam, menyatakan sanggup melepaskan jawatan jika pasukan hoki lelaki gagal melayakkan diri ke temasya Olimpik 2020.

Bagi ketua pasukan, Sukri Mutalib, barisan pemain sudah pasti menginginkan dua individu penting itu untuk terus berada dalam KHM ketika mereka berhadapan dengan tugas getir bagi memastikan layak ke Tokyo 2020 dengan cuba meraih pingat emas Sukan Asia terlebih dahulu.

"Ia satu pertaruhan yang sangat besar.

"Kami berasakan ia sesuatu yang perlu dilaksanakan dalam menjamin mereka untuk kekal.

"Bukan itu sahaja, sebagai pemain, kami ada misi untuk pergi jauh dan melihat segala kemungkinan sekiranya tidak layak.

"Kami sedar akan menghadapi banyak perkara-perkara negatif sekiranya gagal layak.

"Kami bukan sahaja perlu memberikan aksi terbaik, sebaliknya ia adalah satu proses pelaksanaan," kata Sukri.

Berhubung Program Podium yang berkemungkinan bakal dirombak, Sukri tidak menganggap situasi itu akan menggugat pencapaian skuad hoki pada masa depan dan tiada alasan untuk tidak terus berusaha biarpun tanpa program berkenaan.

"Saya tidak kisah apa yang akan berlaku terhadap Program Podium, sama ada kekal atau tidak, tetapi karier sebagai pemain hoki perlu diteruskan.

"Sebelum ini pun, kami tidak diserapkan dalam Program Podium tetapi kami masih dapat layak ke Piala Dunia dan meraih pingat gangsa dalam Sukan Asia.

"Sama ada ada ataupun tidak, saya percaya KHM ada kaedah tersendiri untuk mengekalkan kesinambungan hoki," katanya lagi.

Terdahulu, legenda hoki negara, Datuk Mirnawan Nawawi, hadir ke sesi latihan pasukan kelmarin bagi memberi kata-kata motivasi terakhir kepada barisan pemain sebelum mereka berlepas ke Indonesia hari ini.

"Apa yang saya katakan kepada pemain menjurus kepada bicara dari hati ke hati sebab saya adalah bekas pemain.

"Saya ingin berkongsi sesuatu untuk menaikkan semangat mereka," kata Mirnawan.