Dua pemain bola baling lelaki negara sanggup meletak jawatan demi menyertai Sukan Asia Indonesia 2018 ketika skuad kendalian Shamsul Nizam Muhammad Ali itu dalam persiapan menghadapi perlawanan klasifikasi (penentuan ranking) di Kompleks Sukan GOR Popki Cibubur, Isnin ini.

Banyak pengorbanan dilakukan skuad bola baling demi melakukan penampilan sulung dalam Sukan Asia.

Selain pemain meletak jawatan, mereka sanggup menerima elaun hanya RM300 bagi menampung perbelanjaan hampir sebulan di Jakarta, Indonesia.

Ia antara pengorbanan yang meningkatkan keyakinan Shamsul Nizam bahawa kemenangan sulung Malaysia dalam temasya ini akan hadir dalam perlawanan klasifikasi.

"Atlet yang ada dalam skuad ini terdiri daripada mereka yang gila.

"Mereka membesar dengan bola baling sejak sekolah rendah sehingga menengah, malah selepas memasuki alam pekerjaan pun mereka masih sanggup bermain lagi.

"Ini adalah keghairahan mereka. Dengan elaun rendah sebegitu, mereka masih sanggup menyertai Sukan Asia.

"Untuk pengetahuan peminat Malaysia, dua anak buah saya sanggup berhenti kerja semata-mata untuk memberikan komitmen datang ke sini," katanya.

Malaysia gagal melepasi Kumpulan A selepas tewas kepada Qatar dan Iran.

Naib juara Kejohanan Asia Tenggara 2016 itu dijangka berdepan sama ada India atau Taiwan dalam perlawanan klasifikasi.