Setelah setahun menyepi, bekas jurulatih chinlone negara, Yusof Abdullah, kini diberikan mandat oleh Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) untuk membimbing skuad sepak takraw wanita negara bagi menghadapi Sukan SEA Manila 2019.

Yusof memulakan tugas secara rasmi sejak 1 Januari lalu bagi menggantikan Mohd Fikri Mohd Nor dengan membawa misi membentuk gandingan terbaik menjelang temasya itu dari 30 November hingga 11 Disember depan.

Sebagai rekod, Yusof pernah membantu skuad chinlone negara menghadiahkan emas pertama dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Bagaimanapun, dia akan melakukan rombakan dalam skuad wanita dengan memberikan laluan kepada beberapa muka baru yang menyinar dalam Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018 dari 11 hingga 22 September lalu.

"Saya berasakan skuad wanita negara telah dilatih dengan cara yang betul selama ini.

"Saya hanya perlu meneruskan perancangan yang telah disediakan dengan harapan kami dapat memberikan yang terbaik dalam Sukan SEA nanti," katanya.

Pada masa sama, Yusof turut bersiap sedia dengan segala kemungkinan seandainya Malaysia terpaksa beraksi dalam acara gelung di Manila.

Setakat ini, hanya dua acara dipertandingkan dalam kategori wanita, iaitu gelung dan regu.

"Saya masih baru dalam permainan gelung.

"Kami masih belum mengetahui sama ada boleh menyertai kedua-dua acara atau perlu memilih salah satu daripadanya.

"Setakat ini, kami menjalankan latihan bagi menghadapi kedua-dua acara berkenaan," tambahnya.