Jurulatih Kuala Lumpur Thunders, Azhar Sarbini menggesa anak buahnya untuk berwaspada dengan kehebatan servis tekong utama Penang Black Panthers, Mohd Syahir Rosdi.

Pertarungan sengit diramalkan berlangsung antara Kuala Lumpur Thunder dan Penang Black Panthers yang akan beradu kekuatan dalam aksi final Liga Sepak Takraw (STL) pada Ahad bagi menentukan siapa bakal dinobatkan juara musim ini.

Syahir adalah antara watak utama membawa pasukannya melangkah ke final selepas menundukkan ATM Guardians dalam aksi tiga set yang mendebarkan.

Bagi Azhar, jika servis tajam Syahir mampu dikekang, ia bakal memberikan kelebihan buat Kuala Lumpur Thunders dari sudut psikologi.

“Kami telah mengatur strategi bagi perlawanan final untuk menerima servis Syahir,kami berharap segalanya berpihak kepada kami,” kata Azhar.

Di pihak Penang Black Panthers, mereka mengakui Syahir adalah watak utama dalam pasukannya namun kelibat perejam, Mohd Azlan Alias dan feeder Muhammad Zaim Razali juga tidak harus diketepikan.

“Pada perlawanan esok, Syahir akan muncul sebagai watak utama, kami berharap dia dapat mengekalkan momentum bagi aksi final,” kata Jeffarri Abd Malek, pengurus pasukan Penang Black Panthers.

“KL memiliki pertahanan yang mantap dan servis yang mampu menggugat kami, kami berharap dapat memberikan yang terbaik bagi memenangi perlawanan ini,” ujar Syahir.