Juara bertahan, Kelantan, terus mempamerkan aksi cemerlang apabila menumpaskan Selangor 2-0 dalam suku akhir kategori regu bawah 18 tahun Kejohanan Sepak Takraw Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) di Kompleks Sukan Kluang, Johor petang tadi.

Jurulatih Kelantan, Awi Seman, berpuas hati dengan persembahan anak buahnya sambil menyifatkan faktor ketenangan berjaya membawa mereka ke separuh akhir esok.

"Seperti diduga, Selangor memberi saingan yang kuat dan kami pula banyak membuat kesilapan mudah pada awal set pertama.

"Namun, selepas mendapat rentak dan menyerap tekanan, pemain saya tenang mengutip mata demi mata.

"Fokus kami kepada pertemuan separuh akhir dengan Pulau Pinang esok," katanya.

Dalam aksi sengit, Kelantan yang menurunkan tekong berpengalaman, Mohd Alif Hakimi Razali, Mohd Eqbal Shamsudin (apit kanan) dan Mohd Salahuddin Ismail (apit kiri) berjaya mengatasi Selangor 21-18 dalam set pertama.

Biarpun Selangor cuba bangkit dalam set kedua, namun ketajaman servis Mohd Alif Hakimi berjaya mengecewakan Selangor 21-19, sekaligus mara ke separuh akhir.

Keputusan lain
Suku Akhir Bawah 18

Pulau Pinang 2 Negeri Sembilan 0
Perak 2 WP Kuala Lumpur 0
Terengganu 2 Melaka 0