Perebutan pingat emas bagi acara sepak takraw Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) di antara Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Thanksin diibaratkan seperti pertemuan Malaysia dan Thailand di Serdang, hari ini.

UPM, yang diwakili tiga atlet negara yang beraksi dalam Sukan SEA Kuala Lumpur lalu, Muhamad Suhairi Sulaiman, Muhammad Kamal Ishak dan Meor Mohamad Zulfikar Mat Amin, mudah mendahului pusingan pertama 21-13.

Beraksi di hadapan penyokong sendiri, UPM memastikan genggaman emas menjadi milik mereka apabila mengungguli set kedua 21-15 selepas lawan kerap kali melakukan kesilapan.

Gangsa milik wakil Indonesia, Universiti Negeri Surabaya, apabila menewaskan Universiti Nakhon Si Thammarat Rajabhat dari Thailand 21-16, 21-20.

"Sukan SEA lebih gementar berbanding SUKIPT. Tetapi, saingan hari ini masih ada cabaran kerana pasukan lawan bukan sembarangan," kata pemain UPM, Kamal.

Antara yang turut cemerlang hari ini, ialah kontinjen Universiti Malaya yang menyapu bersih emas boling masters lelaki dan wanita, begitu juga skuad memanah UniSZA yang meraih emas compound dan recurve campuran.

Sementara itu, acara olahraga 5,000 meter wanita dimenangi Teoh Kim Ling dari UPM.