Skuad sepak takraw negara mungkin terpaksa membuat pilihan drastik dan beraksi dalam acara bukan kegemaran demi memastikan kilauan pingat emas dapat dituai dalam Sukan SEA Filipina 2019 hujung tahun ini.

Acara ‘doubles’ atau berpasangan bukanlah asing untuk pasukan Malaysia.

Barisan kejurulatihan negara masih menimbangkan keputusan untuk menyertai acara itu memandangkan ia mempunyai peluang yang lebih cerah meraih emas berbanding bersaing dalam acara tradisi, iaitu regu mahupun regu berpasukan.

Ia ditambah dengan skuad muda yang beraksi dalam Kejohanan Sepak Takraw Asia di Kunming, China baru-baru ini tatkala mereka berjaya menuai perak.

"Kami mencuba, di mana acara yang boleh kami hasilkan emas, itu yang penting. Dalam acara doubles memang kami ambil bahagian, apatah lagi regu serta regu berpasukan. Sekarang, kami sedang menilai mana yang terbaik untuk kami dapatkan emas," kata ketua jurulatih skuad negara, Abdul Talib Ahmad.

Filipina menyenaraikan empat acara sepak takraw dalam Sukan SEA 2019 untuk kategori lelaki, dengan satu negara dibenarkan menyertai dua acara sahaja.

Setakat ini, tumpuan persiapan kem negara terarah kepada tiga acara sambil tidak fokus kepada acara gelung yang kembali disenaraikan Filipina.

"Di peringkat awal, kami masih belum boleh putuskan acara mana akan diambil kerana setiap negara mempunyai taktikal tersendiri berdasarkan prestasi pemain. Itu paling penting," tambahnya.