Skuad sepak takraw kebangsaan mungkin terpaksa mengutamakan matlamat menghadiahkan pingat emas untuk kontinjen negara dengan menyertai acara bukan kegemaran berbanding membuat perhitungan dengan Thailand dalam Sukan SEA Filipina hujung tahun nanti.

Pasukan negara memberi bayangan untuk menyertai acara 'doubles' atau berpasangan selepas berjaya meraih perak dalam Kejohanan Asia di Kunming, China baru-baru ini.

Biarpun pilihan tersebut bakal menimbulkan rasa kurang senang berbanding menyertai acara tradisi, regu atau regu berpasukan, namun matlamat keseluruhan kontinjen Malaysia untuk meraih emas mungkin boleh dicapai jika menyertai acara "doubles" yang merintis laluan lebih mudah.

Apatah lagi, jangkaan awal menyaksikan Malaysia bakal kehilangan separuh daripada pungutan 145 emas yang diraih ketika menjadi tuan rumah dua tahun lalu.

"Mana yang berikan kami kelebihan, itu yang dicari. Bagi saya, jika Thailand tiada pun, emas tetap emas," ujar pemain kebangsaan, Hafizie Manap.

Setakat ini, tiada pengumuman rasmi daripada Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) mengenai acara yang bakal disertai skuad negara

Filipina menyenaraikan empat acara sepak takraw untuk kategori lelaki dengan satu negara hanya dibenarkan menyertai dua acara.

"Kalau ada pasukan seperti Thailand dalam satu acara, sudah pasti peminat mahu melihat saingan sengit atau tewaskan mereka.

"Inilah masa untuk mendapatkan semula emas. Sebelum ini, dalam Sukan Asia, Thailand tiada untuk berikan saingan kepada kami, jadi mungkin perolehan pingat tampak memihak kami," katanya lagi.