Setiausaha Agung, Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF), Datuk Abdul Halim Kader, memberi jaminan bahawa apa jua hukuman yang bakal dikenakan terhadap skuad negara berhubung isu boikot dan doping tidak akan menjejaskan persiapan mereka untuk Sukan SEA 2017, Ogos nanti.

Sesi pendengaran kes doping dan boikot aksi final berpasukan ketika Piala Raja Thai pada Oktober tahun lalu, bakal diadakan di Bangkok pada Rabu ini.

Hanya pegawai dan jurulatih yang perlu menghadirkan diri ke sana dan pemain-pemain terlibat dikecualikan.

Menurut Abdul Halim, tiada istilah persiapan skuad negara untuk Sukan SEA akan terjejas gara-gara kes berkenaan kerana pihak ISTAF mengesahkan mereka boleh beraksi dalam temasya itu.

Cuma mereka hanya perlu menunggu bentuk hukuman yang akan diputuskan Khamis ini selepas selesai sesi pendengaran kes.

"Dalam hal ini, pihak ISTAF telah cuba menyelamatkan pemain-pemain negara yang terlibat untuk beraksi dalam Sukan SEA tahun ini.

"Kami akan memberikan sokongan penuh kepada mereka untuk memastikan Sukan SEA akan berjalan dengan lancar," katanya.

Abdul Halim turut mengharapkan proses pengadilan yang telus dan adil akan berlaku bagi meleraikan kes berkenaan dengan secepat mungkin.

"Isu yang melibatkan pengambilan peguam dari luar negara sudah tidak lagi timbul dan perkara ini harus diselesaikan mengikut undang-undang yang telah ditetapkan oleh Agensi Anti-Doping Dunia (WADA)," tambahnya.