Bekas pemain sepak takraw negara, Suhaimi Yusof, menyifatkan hukuman tambahan 30 jam kerja amal ke atas dua bekas tekong kebangsaan, Syahir Rosdi dan Zulkifli Abdul Razak, oleh Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) sebagai satu tindakan tidak munasabah.

Syahir dan Zulkifli akhirnya menerima hukuman gantung dua tahun sehingga 2021 oleh PSM susulan didakwa mempunyai masalah disiplin sejak Jun lalu.

Namun, Suhaimi mempertikaikan persatuan itu yang meletakkan hukuman tambahan 30 jam kerja amal yang perlu dilaksanakan kedua-dua pemain terbabit dan berpendapat ia ibarat mempergunakan kedua-dua bekas tekong emas negara itu.

Syahir dan Zulkifli tidak boleh terlibat dengan sebarang kejohanan dalam dan luar negara, sebaliknya khidmat mereka masih boleh ditagih sebagai rakan pelatih atau membantu pasukan negeri atau sekolah sepanjang tempoh penggantungan itu.

"Kalau nak gantung dua tahun, tiada masalah. Mungkin itu kuasa PSM tetapi mengapa ada kerja-kerja tambahan? Ia sudah seperti kesalahan orang yang melakukan jenayah," katanya.

Dalam masa sama, Suhaimi juga melahirkan persoalan terhadap kredibiliti jawatankuasa tindakan tatatertib PSM yang gagal mencapai kata putus sehingga berlaku campur tangan exco untuk menjatuhkan hukuman kepada kedua-dua pemain itu.

"Apa yang menjadi persoalan, jika atlet terbabit tidak mahu mengikuti 30 jam kerja amal, apa tindakan seterusnya? Didenda atau digantung lagi? Adakah tertulis dalam akta sepak takraw yang menerangkan tentangnya? Jika tiada, mungkinkah selepas atlet mengingkarinya, baru dikaji tindakan seterusnya."