Kelantan Warriors melaungkan keyakinan mampu mengalahkan empat lagi pencabar utama, sekaligus mara ke separuh akhir Liga Sepak Takraw (STL) musim ini.

Regu muda Pantai Timur ini bakal menghadapi cabaran sengit daripada ATM Guardians, Selangor Piston, Johor Tigris dan Terengganu Turtles bagi melengkapkan jadual liga.

Tekong utama, Mohd Hisyam Mat, yakin tempoh rehat selama dua minggu dapat digunakan untuk membaiki lagi persefahaman antara mereka dan meningkatkan kecergasan.

“Alhamdulillah, kombinasi saya bersama Wan Naim Izani Wan Mohd Noor (apit kanan) dan Aidil Aiman Zawawi semakin serasi dan kami harap mampu memberi cabaran hebat kepada empat lagi pasukan untuk melengkapkan jadual liga.

“Rehat selama dua minggu memberi peluang kepada kami untuk terus membaiki persefahaman dan kecergasan," katanya.

Hisyam, yang dipilih sebagai pemain terbaik STL minggu keempat, tetap yakin regunya mampu mencipta kejutan dan mencapai sasaran yang ditetapkan oleh Presiden Gabungan Sepak Takraw Kelantan (Gastak), Datuk Mohd Radzuan Abdullah.

“Kami mampu melakukan kejutan dan mencapai sasaran mara ke separuh akhir STL musim ini,” ujar Radzuan.