SSMT sasar juara sepak takraw Piala Pengetua B-16 

By Tengku Danish Bahri 5 November 2019 357
SSMT sasar juara sepak takraw Piala Pengetua B-16 
Pasukan tuan rumah, Sekolah Sukan Malaysia Terengganu (SSMT), meletakkan sasaran untuk mempertahankan kejuaraan Kejohanan Sepak Takraw Piala Pengetua SSMT Bawah 16 Tahun (B-16) yang bermula Jumaat ini.

Keyakinan itu dilaungkan Pengetua SSMT, Huszaidi Hussin, dalam majlis memperkenalkan penaja kejohanan berkenaan, pagi tadi.

Menurutnya, ketiadaan pencabar terdekat, Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) dan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), juga memberi lebih keyakinan kepada tuan rumah.
 
Huszaidi berkata lagi, SSMT akan menurunkan barisan regu terbaik dengan beberapa pemain telah didedahkan menerusi Kejohanan Sekolah-Sekolah ASEAN di Thailand, tahun ini.

"Tanpa penyertaan SSBJ dan SSTMI, saya lihat peluang kami lebih cerah untuk menjadi juara kategori utama B-16.

"Menerusi kombinasi pemain terbaik juga, saya yakin SSMT dapat menunjukkan persembahan yang diharapkan," jelasnya.

Sebanyak 60 pasukan akan menyertai kejohanan di Dewan Olimpik SSMT itu dengan dua lagi kategori turut dipertandingkan, iaitu B-14 dan B-11.

Antaranya Sekolah Sukan Negeri Perak, Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Melaka, MSSM Pahang dan Projek Akademi Sepak Takraw Terengganu (PASTA).

Memasuki edisi ketiga, Huszaidi menambah SSMT sentiasa komited mencungkil bakat-bakat baru dalam sukan berkenaan menerusi kejohanan seumpama ini.

"Sepak takraw merupakan salah satu sukan teras di SSMT dan hasil daripada pelan pembangunan kami, ramai pemain muda telah diketengahkan," ujarnya.

About Author

Tengku Danish Bahri

Comment