Selepas tewas 1-2 kepada Pulau Pinang dan muncul naib johan Kumpulan A, Kelantan beraksi cemerlang menumpaskan pasukan pilihan, Perak, 2-0 dalam suku akhir acara berpasukan Kejohanan Sepak Takraw Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) di Kompleks Sukan Kluang, petang tadi.

Kelantan A yang menurunkan Muhammad Hafiz Abdullah (tekong), Muhamad Azzril Iqmal Jamsani (apit kanan) dan Muhamad Ezlan Abdul Hamed (apit kiri) bermula perlahan apabila kalah kepada regu pertama Perak, 15-21.

Dalam set kedua, Muhammad Hafiz mempelbagaikan servis dan berjaya memerangkap pertahanan Perak untuk menang 21-13, sekaligus mengheret permainan ke set penentuan.

Dalam aksi penentuan, libasan kencang apit kanan Kelantan A, Muhammad Azzril Iqmal terus menjadi dan berjaya membawa kemenangan 21-17.

Regu B Kelantan yang dibarisi Muhammad Zukrain Zainuddin, Muhammad Zul Hisyam Zamari, Muhammad Amirul Aiman Mohd Nafee dan Mohd Haris Haiqal Mohd Hairi (simpanan) tenang menewaskan Regu B Perak 2-1 (21-12, 17-21, 21-13) untukmembawa skuad Merah Putih ini ke separuh akhir.

Jurulatih Kelantan, Suhairi Nordin, jelas gembira dengan prestasi pemainnya dan menyifatkan semangat juang yang tinggi menjadi faktor utama kebangkitan Kelantan sehingga mampu melayakkan diri ke separuh akhir.

“Alhamdulillah, pemain berjaya menyerap segala tekanan dan bermain sebagai satu pasukan untuk mengatasi cabaran sengit Perak,” katanya.

Keputusan Lain:

Suku Akhir Bawah 15

Selangor 2 Kedah 0
Negeri Sembilan 2 Pulau Pinang 0

Suku Akhir Bawah 18

Perlis 2 Johor 0
Pulau Pinang 2 Negeri Sembilan 0