Ketua jurulatih skuad sepak takraw wanita negara, Saiful Nizam Mohd, sekali lagi perlu membuktikan sentuhan ajaibnya setelah diberi kepercayaan membawa pasukan itu bagi musim 2020.

Sebelum ini, dia pernah melakar kejayaan dalam skuad sepak takraw lelaki yang meraih dua pingat emas dalam Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.

Kini, khidmatnya ditagih oleh skuad wanita untuk menghadapi musim 2020 ini.

Bagaimanapun, Saiful menjelaskan bukan tugas mudah baginya untuk mengendalikan skuad wanita yang dianggap berbeza daripada barisan pemain lelaki.

Setakat ini, barisan kejurulatihan dan pemain belum diumumkan tentang program musim 2020, namun dia bertekad memberi tumpuan kepada saingan Piala Raja Thai, September depan.

"Kem wanita agak berbeza. Jika skuad lelaki, boleh capai tahap maksimum, berbeza dengan wanita. Kekuatan mereka lain. Kami sasarkan separuh akhir," katanya.

Sementara itu, pemain kebangsaan yang membantu skuad negara meraih pingat gangsa dalam Sukan SEA di Filipina, Disember lalu, Razmah Anam, menegaskan dia kini bersedia menghadapi cabaran musim ini.

"Untuk tahun ini, kami perlu berlatih dulu tiga bulan sebelum ada pengesahan perancangan untuk pasukan," katanya.



Editor: Nafis Abdullah