Bekas pemain kebangsaan, Rommi Suhendra Norsal menyifatkan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) bersikap sambil lewa dalam menyelesaikan isu penggantungan dua jurulatih dan tiga pemain negara yang enggan meneruskan aksi dalam Kejohanan Piala Raja Thai di Bangkok pada 2016.

Jelasnya, isu berbangkit itu menunjukkan kegagalan barisan kepimpinan badan induk tersebut dalam menyelesaikan isu itu, seterusnya menimbulkan rasa tidak puas hati pemain terlibat kerana akan menutup periuk nasi mereka.

"Perkara yang berlaku ini adalah pada tahun 2016 dan hari ini adalah tahun 2018. Selama dua tahun, kenapa PSM hanya berdiam diri dan tidak meneruskan apa-apa tindakan susulan?

"Saya lihat PSM lepas tangan selain menganggap perkara itu mudah dan akhirnya inilah akibatnya (jurulatih dan pemain digantung daripada mana-mana pertandingan).

"Bagi saya, PSM perlu bertanggungjawab menyelesaikan masalah ini dengan secepat mungkin. Malah, pemain-pemain yang digantung juga berasa kecewa dengan apa yang berlaku. Apatah lagi masalah disiplin ini biasanya orang akan ungkit berkali-kali, sebab saya sendiri pernah melaluinya," katanya.

Susulan itu, Rommi berharap isu yang melanda skuad sepak takraw itu mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, serta Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) dalam menangani polemik tersebut.

"Saya bukan minta mereka untuk campur tangan sepenuhnya tetapi sekurang-kurangnya, mereka perlu ambil tahu akan masalah ini kerana ia melibatkan maruah negara selain cukup mudah untuk diselesaikan," katanya.

Media tempatan melaporkan PSM menerusi presidennya Datuk Seri Ahmad Ismail, mendakwa sudah menjelaskan denda sebanyak AS$7,000 (RM29,003) yang dikenakan oleh Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) pada Februari lalu.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader, mendakwa PSM masih belum melunaskan denda berkenaan.

Akibatnya, ketua jurulatih, Abd Talib Ahmad, penolong jurulatih, Mohd Rashidi Nordin, serta tiga pemain, Izurin Refin, Muhammad Afifuddin Mohd Razali dan Mohd Safaruddin Abu Bakar digantung selama empat bulan daripada menyertai sebarang aktiviti sukan itu berkuat kuasa 1 Oktober hingga 31 Januari depan.

-- BERNAMA