Perak berazam untuk mempertahankan kejuaraan Piala Emas Khir Johari di Melaka, Julai depn.

Presiden baru Persatuan Sepaktakraw Perak Darul Ridzuan (PERSEDAR), Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, berkata Perak telahpun memulakan latihan bagi mempertahankan piala yang menjadi lambang keagungan sukan sepak takraw di negara itu sejak bulan lalu.

"Dengan persiapan awal yang telah dilakukan, saya yakin Perak berupaya untuk mempertahankan gelaran yang dimenangi selepas menamatkan penantian selama 14 tahun," katanya dalam majlis berbuka puasa persatuan itu di Kelab Golf Diraja (RPGC), Ipoh, semalam.

Puhat melihat sinar di hujung terowong dalam sukan itu dengan pelbagai kejayaan yang dirangkul sejak dua tahun lalu.

"Perak (Bison) muncul juara divisyen satu Sepaktakraw League (STL) 2016 dan dinaikkan ke Divisyen Premier pada tahun berikutnya dan menduduki tempat ketiga. Perak juga muncul naib juara Piala Juara-Juara.

"Tahun lalu, Bison menduduki tempat keempat STL," tambahnya.

Puhat menambah prestasi Perak dalam Sukan Malaysia (SUKMA) di Perak tahun lalu juga amat membanggakan di mana pasukan lelaki meraih pingat emas acara quadrant dan gangsa acara berpasukan.

Pasukan wanita pula memperolehi tiga gangsa melalui acara berpasukan, regu dan beregu.

"Saya melihat potensi pemain negeri begitu besar dan yakin Perak dapat meneruskan kejayaan-kejayaan itu," katanya.