Barisan pemain sepak takraw negara menyambut baik kewujudan semula Piala Dunia ISTAF setelah ia menyepi daripada kalendar antarabangsa selama enam tahun.

Ternyata, pengumuman yang dilakukan Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader, membawa kegembiraan buat kem Malaysia yang telah lama menantikan kejohanan ini.

Piala Dunia ISTAF dilangsungkan kali pertama pada 2011 yang menyaksikan Kuala Lumpur menjadi tuan rumah, namun selepas itu ia gagal dijalankan kerana menghadapi beberapa masalah teknikal.

Kembalinya Piala Dunia ISTAF bermakna adanya pertambahan siri kejohanan di peringkat antarabangsa buat skuad negara memandangkan sebelum ini mereka hanya bergantung kepada siri perlawanan persahabatan serta beberapa kejohanan yang dianjurkan oleh Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM).

"Bagi pemain baru, ini peluang mereka untuk menonjolkan kemampuan sebenar," kata pemain sepak takraw negara, Zulafendi Sumari.

Tidak dinafikan selepas dikritik hebat gara-gara aksi kurang memberangsangkan dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, bulan lalu, Malaysia mahu jadikan kejohanan ini untuk mengembalikan semula keyakinan ramai pihak bahawa sepak takraw Malaysia masih antara kuasa besar di pentas antarabangsa.

Sementara itu, seorang lagi pemain kebangsaan, Muhammad Norhaffizi Abd Razak, melihat kembalinya Piala Dunia ISTAF mampu menyuntik kebangkitan kem negara.

"Saya tidak tahu sama ada nama saya akan tersenarai atau tidak kerana mungkin akan ada perubahan tetapi saya yakin dengan adanya Piala Dunia ini, ia secara tidak langsung ia akan menambahbaikkan lagi prestasi skuad negara di pentas antarabangsa," katanya.