Tiada lagi gandingan cacamarba atau tangkap muat yang bakal diturunkan Johor Tigris seperti minggu lalu apabila mereka melayari minggu kedua Liga Sepak Takraw (STL) 2016 dengan menghadapi Melaka Titans, Jumaat ini.

Barisan dan pilihan pemain yang lengkap dan meluas kini berjaya diperoleh jurulatih regu dari selatan Semenanjung itu, Jamaluddin Hassan, dalam misi bangkit menebus kekalahan 12-21, 10-21 kepada Terengganu Turtles.

Tekong, Haidzir Rashid, dan dua apit kiri atau pengumpan, Saifulrudin Khalid dan Lutfil Hadi Azmi, yang terlibat dengan sebuah kejohanan terbuka di Seremban dan Sukan Pantai Asia Kelima di Da Nang minggu lalu, akan kembali memperkasakan Johor Tigris.

“Kami mendapat skuad yang lengkap minggu ini. Pastinya ada perbezaan dengan kehadiran mereka bertiga kerana ketika menentang Turtles, kami terpaksa gunakan Noor Rizal Jaafar di posisi kiri sedangkan dia seorang pelibas.

“Kadangkala lontaran bolanya kepada tekong kidal, Amirul Asyraaf Khairul, tidak konsisten sehingga Norhafizi Abd. Razak pula terpaksa beralih ke situ apabila tiba giliran servis kami,” kata Jamaluddin, 62, bekas ketua jurulatih negara.

Johor Tigris ketika itu tampak seperti menggunakan strategi perejam kembar tetapi menurutnya, kedua-dua apit mereka sukar mematahkan servis lawan untuk mengatur serangan balas menerusi libasan.

“Kalau dapat sambut servis, saya rasa tiada sebarang masalah besar bagi kami untuk menyaingi mana-mana lawan.

"Jadi, dengan pilihan pemain yang lebih ramai ini, harap-harapnya keadaan itu banyak berubah apabila berdepan Titans (yang mengejutkan juara bertahan, ATM Guardians 13-21, 21-18, 21-18, Sabtu lalu),” katanya.

Johor Tigris juga akan berdepan Guardians keesokannya dengan lawan turut cuba bangkit daripada dua kekalahan berturut-turut, termasuk kepada Kelantan Warriors 21-23, 16-21, Ahad lalu.

Norhafizi merupakan apit kanan dalam skuad Program Kita Juara Sukan SEA 2017 yang mempunyai kederasan dalam libasan gulung kidalnya, namun tidak dapat menunjukkan prestasi terbaiknya minggu lalu gara-gara umpanan oleh apit kiri yang tulen.

Sementara itu, pelibas Titans, Azwan Yahya, yang masuk menggantikan Amirul Asyraf Idris pada penghujung set pertama sebelum mengejutkan Guardians, berkata:
“Kemenangan itu menyuntik semangat kami sepasukan, apatah lagi kerana menewaskan juara bertahan.

“Terima kasih juga kepada Sahidan Md. Ali menerusi servisnya yang mencuri banyak mata mudah. Saya pun rasa kena pergiatkan latihan libasan saya kerana kerap ditampan Afiffudin Razali (apit kanan ATM). Kami juga banyak buat kajian video bagi mengenali kekuatan dan kelemahan lawan,” katanya.

Mengenai Tigris, apit kanan yang setia dengan Melaka sejak 2008 ini, berkata: “Prestasi dengan Turtles tidak boleh dijadikan ukuran kerana mereka tanpa ramai tonggak minggu lalu. Saya jangkakan pertembungan yang lebih sengit di antara dua pasukan berjiran di selatan ini.”

Dalam pada itu, Azwan masih menganggap Amirul sebagai perejam utama Titans yang bakal memikul tugas lebih getir apabila menghadapi Turtles -- pendahulu STL 2016 yang sudah mengutip dua kemenangan -- dua hari kemudian.

JADUAL STL 2016 (MINGGU 2)

Jumaat: 8 malam - Johor Tigris lawan Melaka Titans, 9.30 malam - Penang Panthers lawan Kuala Lumpur Thunder


Sabtu: 4 petang - ATM Guardians lawan Johor Tigris, 5.30 petang - Kedah Eagles lawan Penang Panthers


Ahad: 4 petang - Melaka Titans lawan Terengganu Turtles, 5.30 petang - Kuala Lumpur Thunder lawan Kelantan Warriors

Semua perlawanan berlangsung di Stadium MPSJ, Serdang Jaya, Selangor