Kurang pendedahan punca skuad sepak takraw longlai di Filipina

By Staff Writer 22 January 2020 539
Kurang pendedahan punca skuad sepak takraw longlai di Filipina
Memecahkan tembok penguasaan Thailand menjadi keutamaan skuad sepak takraw negara dengan menambah penglibatan dalam kejohanan antarabangsa sepanjang musim 2020.

Pasukan kebangsaan tewas dalam kedua-dua acara regu berpasukan serta gelung di tangan musuh tradisi, Thailand, dalam aksi final Sukan SEA Filipina 2019. 

Hari ini, mesyuarat post mortem Sukan SEA membabitkan barisan pemain dan Majlis Sukan Negara (MSN) menyaksikan luahan pemain yang menganggap mereka kurang pendedahan kejohanan luar. 

Namun, perancangan awal skuad kebangsaan menggariskan tiga kejohanan, Temasya Sukan Pantai Karachi, Kejohanan Sepak Takraw Asia di Bangladesh serta Sports Accord di Beijing bermula Mac hingga April depan.

"Kami terpaksa mengambil alternatif seperti hantar beberapa pemain beraksi dalam kejohanan di Thailand. Di sana, corak permainan mereka boleh membantu dalam memberikan saingan.

"Namun, saya juga mengingatkan bahawa skuad negara tidak boleh terlepas pandang pasukan lain," kata ketua jurulatih negara, Abdul Talib Ahmad.

Dalam masa sama, Talib berharap pemain negara dapat menjadikan disiplin dan komitmen atlet sukan lain seperti gimnastik dan silat sebagai contoh dalam meningkatkan prestasi. 

"Daripada segi modul latihan, kami perlu sentiasa mengubahnya mengikut keperluan dalam usaha meningkatkan mutu persembahan. Kadangkala, kami juga belajar daripada sukan lain."



Editor: Nafis Abdullah

About Author

Staff Writer

Comment