Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, mengharapkan apa yang berlaku terhadap pemain sepak takraw negara dijadikan pengajaran selepas mereka terselamat daripada digantung berhubung kes tidak mahu meneruskan aksi final Piala Raja Thai.

Khairy tidak mahu lagi kisah yang sama berulang sambil mengharapkan pemain-pemain sepak takraw lebih matang sebelum membuat sebarang keputusan.

Beliau mengakui tiada sebarang tolak-ansur jika melanggar undang-undang, mereka juga perlu menjaga nama baik negara setiap kali bertanding dalam mana-mana kejohanan.

Lembaga Disiplin Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) semalam memutuskan trio Izudin Refin, Afifuddin Razali dan Safarudin Abu Bakar masing-masing didenda USD2,000 sementara tiga pegawai didenda USD4,000 setiap seorang.

Kegagalan membayar denda itu sebelum 21 Januari ini akan membuatkan mereka digantung tiga hingga enam bulan.

"Kita akur dengan keputusan yang telah dibuat.

"Saya harap dengan hukuman tersebut, selesailah kes yang melibatkan pemain-pemain takraw ini.

"Saya harap pada masa akan datang, tiada apa-apa kes berulang kerana ia boleh memberi persepsi negatif terhadap sukan takraw," katanya.