Regu tuan rumah, Kelantan, memenangi pingat emas acara regu Kejohanan Sepak Takraw Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) apabila menumpaskan musuh tradisi, Terengganu, 2-0 di Wisma Sukan, Telipot, Kota Bharu, petang semalam.

Masih segar daripada kejayaan menumbangkan regu pilihan, Negeri Sembilan, 2-0 dalam separuh akhir, regu Kelantan yang diwakili Mohd Alif Hakimi Razali (tekong), Baihaki A’riffin (apit kanan) dan Wan Mohd Aiman Wan Jusoh (apit kanan) bermula agak perlahan apabila ketinggalan 7-11 dalam set pertama.

Namun, selepas berjaya menyerap tekanan, Kelantan mendapat mata demi mata melalui servis kencang Mohd Alif sambil dibantu libasan menarik Baihaki untuk mengatasi Terengganu yang diwakili Mohd Hafizul Ikmal (tekong), Mohd Aidil Alif (apit kanan) dan Muhd Hilal Izzuddin (apit kiri) 21-17.

Dalam set kedua, dibantu sorakan padu penyokong tuan rumah, Kelantan terus menunjukkan kehebatan apabila meninggalkan Terengganu 18-8 melalui servis kencang Mohd Alif yang cukup mengelirukan.

Kelantan menamatkan set kedua melalui libasan kencang Baikhaki, sekaligus membolehkan regu tuan rumah melakar sejarah mengungguli kategori acara regu selepas memenangi pingat gangsa dalam acara berpasukan kelmarin.

Pengurus pasukan, Razali Ab Rahman, menyifatkan semangat juang yang tinggi selepas ketinggalan dalam set pertama menjadi faktor utama kejayaan mereka di pentas final.

“Alhamdulillah, pemain berjaya menyerap segala tekanan dalam perlawanan akhir dan menentang regu pilihan, Terengganu, bukan satu tugas yang mudah.

“Biarpun ketinggalan dalam set pertama (7-11), namun pemain cepat bangkit dan sentiasa menutup ruang kesilapan.

"Dibantu sokongan padu penonton (anda boleh tengok tadi), Kelantan berjaya menang set pertama dan akhirnya emas menjadi milik kami apabila menang agak mudah set kedua,” katanya.

Keputusan antara regu MSSM B-18:

Johan: Kelantan
Naib Johan: Terengganu
Ketiga: Perak
Keempat: Negeri Sembilan