Putrajaya tidak meletakkan harapan tinggi dalam Kejohanan Sepak Takraw Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2017, sebaliknya memilih untuk memberikan peluang kepada pemain muda menimba pengalaman melalui aksi berkualiti.

Pengurus pasukan, Nuhlan Amini, berkata tiada sasaran pingat yang diletakkan, namun mengharapkan barisan pemain bawah 12 dan 15 yang dipilih mampu beraksi dengan baik menentang pasukan negeri lain yang lebih berpengalaman.

“Kami akur dengan kemampuan pemain yang ada dan kurang pengalaman beraksi di pentas kebangsaan.

"Cuma, saya harap pemain bawah 12 dan 15 yang dipilih mewakili Putrajaya mampu menimba pengalaman terbaik dalam kejohanan kali ini.

“Untuk kejohanan kali ini, Putrajaya tidak mengambil bahagian dalam kategori bawah 18 memandangkan kualiti permainan yang terlalu jauh antara pemain yang ada dengan pasukan negeri lain.

"Insya-Allah, selepas ini kami akan lebih memberi tumpuan terhadap pembentukan skuad bawah 18 tahun,” katanya.

Ditanya mengenai persiapan yang telah dilakukan sebelum menyertai Kejohanan MSSM ini, Nuhlan menjelaskan pemilihan pemain dilakukan dalam kejohanan peringkat sekolah dalam Daerah Putrajaya.

“Pemain yang terbaik akan dikumpulkan serta menjalani latihan pusat sebelum bertolak ke Kota Bharu bagi menyertai kejohanan MSSM 2017,” katanya.

Terdahulu, Putrajaya tewas 0-3 kepada Perak dan Melaka dalam Kumpulan A yang menyaksikan mereka hanya memberi tumpuan kepada acara regu bawah 12 yang akan berlangsung lusa.