Kedah kecewakan Kelantan dalam final antara regu B-12

By Shaiful Shamsudin 23 March 2017 1359
 Kedah kecewakan Kelantan dalam final antara regu B-12
Kedah menghancurkan harapan tuan rumah, Kelantan, apabila menang 2-0 untuk merangkul pingat emas acara regu bawah 12 (B-12) Kejohanan Sepak Takraw Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) di Dewan Badminton, Universiti Sains Malaysia (USM), pagi tadi.

Dalam final yang berlangsung sengit, Kedah menurunkan  Mohamad Adam Haris Md Johari (tekong), Mohammad Irfan Hakimi  Rosli (apit kanan) dan Mohd Asyraf Tarmizi (apit kiri) mengatasi cabaran tuan rumah yang diwakili Mohd Amirul Amir (tekong), Wan Muhamad Razuq Wan Jusoh (apit kanan) dan Ahmad Aidil Asyraf (apit kiri) 21-13, 21-19).

Ketua Jurulatih, Rosli Abu, menyifatkan semangat juang yang tinggi dan kemampuan menyerap tekanan di pentas final menjadi faktor utama kejayaan pemainnya untuk bergelar juara MSSM B-12.

“Alhamdulillah pemain berjaya menyerap tekanan beraksi di hadapan penyokong tuan rumah yang ramai. Kami berjaya mengurangkan kesilapan dan akhirnya kejuaraan menjadi milik Kedah.

“Bukan satu kemenangan yang mudah (2-0), sebaliknya pemain beraksi mengikut arahan jurulatih. 

"Tahniah juga kepada pemain Kelantan yang menjadikan final ini sungguh menarik,” katanya.

Rosli juga menyifatkan kemenangan ini sebagai hadiah hari lahirnya yang jatuh hari ini dan berazam untuk terus membawa pasukan Kedah mencipta kejayaan lebih hebat pada masa akan datang.

“Ya… kemenangan ini sebagai hadiah hari lahir saya yang ke-51. Terima kasih kepada pemain, pegawai dan pengurusan tertinggi Majlis Sukan Negeri (MSN) Kedah yang banyak memberi sokongan kepada kontinjen kami,” katanya.

Terdahulu, Perak mengesahkan tempat ketiga antara regu apabila menumpaskan Sarawak 2-0 (21-16, 21-16)

Keputusan Penuh Antara Regu B-12

Johan: Kedah
Naib Johan: Kelantan
Ketiga: Perak
Keempat: Sarawak

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment