Pemain sepak takraw negara, Muhamad Hafiz Izudin Wahab, percaya dia mempunyai kemampuan tersendiri dalam membantu skuad negara mengharungi misi utama memburu emas dalam Sukan Asia di Indonesia, Ogos depan.

Dia dipanggil menyertai kem latihan skuad kebangsaan selepas mempamerkan aksi memikat ketika saingan Liga Sepak Takraw tahun lalu.

Hafiz, yang memainkan peranan selaku pelibas ketika mewakili pasukan PDRM, adalah antara muka baru yang mendapat kepercayaan ketua jurulatih, Abdul Talib Ahmad.

Jelas pemain berusia 25 tahun itu, kekurangan pengalaman di peringkat antarabangsa bukan halangan untuknya membantu skuad negara.

"Saya akan buat yang terbaik untuk pasukan sebab saya pemain baru dalam skuad Malaysia. Kebanyakan pemain semuanya terbaik dalam negara," kata Hafiz.

Dalam pada itu, khidmat Hafiz pastinya diperlukan oleh PDRM bagi menghadapi Kejohanan Piala Emas Khir Johari pada April nanti.

Antara pencapaian yang pernah diraih pemain kelahiran Marang itu adalah memenangi emas acara regu dalam Sukan Malaysia (Sukma) Perlis.

"Berbeza dengan pasukan negeri, berada dalam skuad negara, saya perlu bekerja keras. Malah, saya masih ada kekurangan berbanding pemain senior lain," katanya lagi.