Barisan kejurulatihan skuad sepak takraw negara bersepakat untuk menamakan apit kiri, Farhan Adam, sebagai kapten baru setelah tekong utama, Syahir Rosdi, disingkirkan daripada pasukan kebangsaan.

Pemain veteran itu merupakan pemain paling senior dalam pasukan dan tidak asing dengan tugasan berkenaan.

Sebelum ini, Syahir diberikan peranan itu sejak Sukan Asia Indonesia tahun lalu.

Susulan penggugurannya dan seorang lagi tekong negara, Zulkifli Abdul Razak, Farhan kembali diberikan kepercayaan itu sambil Hairul Hazizi Haidzir (tekong) ditugaskan sebagai pembantu.

Bagaimanapun, ketua jurulatih, Abdul Talib Ahmad, menegaskan jawatan itu tidak memberikan jaminan untuk kedua-dua pemain itu tersenarai ke Sukan SEA Filipina, November depan kerana pihaknya masuh perlu melakukan penilaian.

"Sebelum ini, memang Farhan Adam menggalas tugas selaku ketua pasukan.

"Ia memang dah lama begitu.

"Sekarang ini, kita mengikut daripada prestasi semasa.

"Dalam masa lebih sebulan ini, kami akan menghadapi satu kejohanan penting (Piala Datuk Bandar di Hatyai) yang akan menguji skuad negara," katanya.

Dalam pada itu, apit kanan negara, Azlan Alias, tidak mahu pihak luar membuat spekulasi mengenai situasi yang melanda kem kebangsaan hingga mencetus konflik di antara pemain sedia ada dengan Syahir dan Zulkifli.

"Sebagai seorang atlet, saya terkesan dengan apa yang berlaku.

"Tetapi saya dan pasukan tidak boleh berputus asa dan terus berjuang demi negara," katanya.