Apit kiri berbakat Kelantan Warriors, Aidil Aiman Azwawi, menjelaskan keinginan untuk kekal dalam Divisyen Perdana, Liga Sepak Takraw (STL) musim depan menjadi motivasi terbaik kepada Kelantan Warriors untuk mengalahkan Melaka Titans di Stadium MPSJ, Serdang Jaya, Selangor, malam esok.

“Kami akan berjuang sehabis baik untuk mengalahkan Melaka Titans bagi mencerahkan peluang untuk kekal dalam saingan Divisyen Perdana STL musim depan.

“Kami sedar Melaka Titans juga perlukan kemenangan kerana kekalahan akan menyebabkan mereka tersingkir ke Divisyen Satu. Kami juga tidak mampu menerima kekalahan kerana Kedah Eagles sedia untuk memintas,” katanya.

Aidil yang dipilih sebagai Pemain Terbaik STL minggu pertama, menyifatkan regu Melaka Titans cukup bersemangat selepas mencatatkan kemenangan mudah ke atas Kedah Eagles 2-0 minggu lepas, namun percaya Kelantan Warriors sudah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

“Saya menganggap ia satu pertemuan yang sukar dan berharap rakan sepasukan dapat terus memberikan aksi terbaik sebagaimana yang ditunjukkan semasa kami mengalahkan Johor Tigris, minggu lepas.

“Peluang masih seimbang untuk kedua-dua pasukan dan siapa yang banyak melakukan kesilapan akan menerima padah."

Kemenangan ke atas Melaka Titans akan memastikan Kelantan Warriors memungut 10 mata, sekaligus kekal bersaing dengan Johor Tigris dan Kedah Eagles dalam usaha memastikan kekal dalam Divisyen Perdana STL.