Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail, menafikan dakwaan yang dilaporkan Presiden Persatuan Sepak Takraw Selangor (PSS), Datuk Markiman Kobiran, kepada Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS), Datuk Zaiton Othman, baru-baru ini.

Ahmad tidak gentar dengan tuduhan Markiman yang memohon agar PJS membatalkan keputusan pemilihan dan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) 2018 apabila mendakwa berlaku perlanggaran perlembagaan.

Jelasnya, dakwaan yang dilontarkan Markiman tidak masuk akal akibat tidak dapat menerima kekalahan gagal menyandang jawatan presiden yang kemudiannya membawa kepada tuduhan tidak berasas itu.

PSM bakal mengadakan mesyuarat 21 Julai ini bagi menyiapkan laporan perjalanan AGM terbabit dan akan diserahkan kepada PJS pada 23 Julai.

"Saya telah membuat pelantikan ahli majlis PSM yang baru. Mengikut perlembagaan, kami memerlukan persetujuan daripada ahli majlis tertinggi dan kami akan menjalankan mesyuarat dalam masa terdekat," kata Ahmad.