Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail, memberi amaran keras akan menggugurkan pemain daripada skuad Sukan Asia 2018 ekoran kegagalan sebahagian mereka melaporkan diri dalam latihan pusat di Kem Komando Jugra, Banting.

Program itu dijadualkan bermula pada 4 Febuari lalu dan tamat pada 6 Mac depan, namun sebahagian daripada pemain negara gagal hadir dengan memberikan pelbagai alasan.

Selain itu, kegagalan pihak majikan memberi kerjasama juga mengganggu perancangan PSM untuk membentuk jati diri pemain kebangsaan.

"Program di Jugra telah berjalan dan ada pemain yang belum menyertainya. Adakah adil jika mereka menyertai pasukan selepas kem di Jugra?

"Pihak PSM telah memutuskan sebulat suara bahawa jika ada pemain yang tidak dapat menyertai kem Jugra sebelum tamat, mereka akan digugurkan daripada skuad Sukan Asia kerana tidak adil buat pemain-pemain yang telah menunjukkan komitmen penuh," kata Ahmad.

"PSM mesti menyiapkan senarai akhir ke Sukan Asia pada Jun, jadi kami mempunyai empat bulan. Selepas kem Jugra, kami memberikan cuti dua hari kepada pemain-pemain, kemudian sesi latihan tidak akan dijalankan di Kuala Lumpur."

Pemilihan 30 nama ke kem tentera itu adalah sebagai persediaan skuad sepak takraw negara sebelum 12 nama diumumkan pada Jun untuk menggalas cabaran negara ke Sukan Asia Indonesia, Ogos depan.

Seremban dipilih sebagai kem latihan negara yang terakhir dalam usaha mengejar sekurang-kurangnya satu pingat emas dalam Sukan Asia nanti.

Sementara itu, Ahmad kekal dengan pendirian untuk mempertahankan jawatan presiden yang dipegang sejak 16 tahun lalu.

Kenyataan itu dibuat berikutan pengesahan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PSM, Jun ini.

"Dalam keadaan ketika ini, saya akan pertahankan jawatan ini. Selagi orang mahukan saya, saya akan terus pegang.

"Saya tidak nampak sebarang sebab untuk mesyuarat agung dipercepatkan," tambahnya.

Penetapan itu juga merujuk kepada perlembagaan PSM yang termaktub bahawa 18 bulan adalah tempoh maksimum bagi pemilihan kepimpinan persatuan itu.