Jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah, mencabar anak buahnya agar mengekalkan aksi tanpa bolos di laman sendiri untuk memastikan keputusan positif dicapai dalam perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia menentang Sabah di Kota Bharu, malam esok.

Susulan kemenangan mengejutkan finalis tahun lalu, Kedah, 2-0 yang membawa mereka ke suku akhir, keputusan itu tampak melonjakkan keyakinan anak buahnya.

Meskipun Sabah mempamerkan aksi tidak menentu dalam kempen Liga Perdana, mereka sebaliknya menempa keputusan memberangsangkan di peringkat kumpulan Piala Malaysia.

"Saya memandang perkara yang sama terhadap pasukan Sabah, terutama dalam kempen Piala Malaysia.

"Setiap kali berkunjung ke halaman lawan, mereka pasti dapat menyumbat gol.

"Saya perlu mencari jalan untuk mengekang bola daripada dihantar kepada dua penyerang mereka (Hector Ramos dan Rodoljub Paunovic).

"Kedua-duanya agak berbahaya sekiranya diberi peluang," kata jurulatih itu.

Aksi di Kota Bharu yang lalu menyaksikan mereka memastikan gawang tidak dibolosi, justeru Yusri mendambakan rentak itu dijelmakan semula.

"Ini satu perkembangan yang cukup baik memandangkan kami merupakan sebuah pasukan yang dibarisi pemain muda.

"Pemain saya membuktikan mereka mampu memberikan saingan terbaik.

"Saya harap mereka tidak terbuai-buai dengan kejayaan lalu dan meneruskan rentak yang sama malam esok kerana kami mahu memburu gol sebagai bekalan di Likas nanti," katanya lagi.