Ketua jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah, mendedahkan kekuatan semangat sepasukan yang dimiliki pemain The Red Warriors (TRW) menjadi faktor utama mengiringi kejayaan mara ke suku akhir Piala Malaysia apabila menyingkirkan Kedah 2-0 di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.

Di sebalik semua pihak tidak meletakkan sebarang harapan untuk TRW lolos ke peringkat kalah mati, anak buahnya mempamerkan aksi bertenaga dengan taktikal disiplin yang baik untuk mengecewakan Lang Merah.

"Syukur kerana Allah mengizinkan Kelantan menempatkan diri ke suku akhir Piala Malaysia dan saya amat terharu dengan komitmen dan semangat juang semua pemain.

"Malam ini membuktikan kenyataan sehebat mana sekali pun sesebuah pasukan, tanpa kekuatan semangat berpasukan tidak mampu memberikan kejayaan.

"Biarpun semua (penyokong) di seluruh Malaysia termasuk Kelantan tidak memberikan harapan tetapi pemain telah membuktikan sebaliknya. Kami boleh mengalahkan pasukan sekuat Kedah melebihi satu gol. Kredit untuk pemain dan penyokong setia TRW," katanya.

Yusri yang juga bekas pengendali Felcra FC menyeru sokongan berterusan penyokong bagi membangkitkan semangat pemain muda Kelantan yang akan beraksi di peringkat kalah mati nanti.

"Akhirnya, selepas tiga perlawanan di gelanggang sendiri, kami masih berupaya mengekalkan rekod bersih tanpa bolos dan saya yakin situasi sebegini akan lebih mematangkan pemain.

"Kepada penyokong, datanglah (ke stadium), buanglah sikap yang mana kalau kita tidak menggemari sesuatu perkara, kita ketepikan dahulu dan terus menyokong pasukan kerana anda semua memiliki kad pengenalan 03.

"Meskipun, saya 09 tetapi hakikatnya, jiwa saya bersama pasukan dan pemain Kelantan.

"Berilah peluang kepada mereka untuk meneruskan karier, lupakan apa yang berlaku dan buka buku baharu," katanya.

Ditanya mengenai prestasi hebat penjaga gol mudanya, Mohd Farizdzuean Kamarudin, Yusri mengakui potensi bekas penjaga gol ketiga Melaka United itu yang mampu menggalas cabaran sebagai benteng terakhir TRW.

"Kami daftar dia (Faridzuean) sebelum hadapi pusingan kedua liga ketika menghadapi Kedah. Dia diturunkan selepas Mat Chah (Shahrizan Ismail) cedera. Dari situlah, dia menunjukkan keyakinan diri dan terus kekal fokus sehingga kini.

"Saya rasa, kami antara pasukan yang berjaya mengekalkan rekod bersih tanpa bolos dalam empat aksi saingan Piala Malaysia dan semua ini dilakukan demi lencana di dada," katanya.