Pemangku ketua jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah, mengakui bagaikan tidak percaya pemain mudanya mampu mengejutkan Johor Darul Ta'zim (JDT), sekali gus memberi harapan untuk layak ke suku akhir Piala Malaysia musim ini.

Selain ketiadaan pemain tengah kreatif, Nik Akif Syahiran Nik Mat, yang bersama skuad Sukan Asia, The Red Warriors (TRW) banyak dihimpit cerita luaran yang kurang enak didengar.

"Syukur kepada Allah, saya masih tidak percaya kemenangan pasukan Kelantan ke atas JDT. Saya selalu ingatkan pemain berikan persembahan terbaik, namun hakikatnya dalam hati kecil saya masih bimbang kerana Nik Akif tidak ada bersama.

"Namun, Alhamdulilah pemain Kelantan menunjukkan mereka (tidaklah terlalu bagus) tetapi mereka ikuti perancangan yang dilakukan dengan teliti. Kami juga sedar kalau tewas malam ini, kami akan lebih awal terkeluar dalam saingan Piala Malaysia.

"Tahniah kepada semua pemain kerana mereka membuat seluruh penyokong TRW sekurang-kurangnya dapat bercerita mengenai bola Kelantan walaupun semua tahu banyak cerita luaran berbanding dalaman," katanya.

Yusri yang juga bekas pengendali Felcra FC mengakui keinginan tinggi untuk mengalahkan Harimau Selatan memberi motivasi tambahan kepada pemain yang berjuang sehingga wisel penamat.

"Saya setuju dengan pendapat tersebut (semangat juang pemain) kerana seperti yang saya katakan tadi, saya agak gusar memikirkan kemampuan anak buah untuk beraksi selama 90 minit. Entah dari mana datangnya tenaga yang luar biasa ini?

"Dengan corak permainan (walaupun tak sebagus mana), pemain buktikan mereka tidak takut berdepan pasukan kuat seperti JDT.

"Saya harap prestasi ini diteruskan walaupun kemenangan ini memberi keceriaan seketika, namun kehilangan dua pemain tonggak agak menggusarkan kami apabila bertandang ke Larkin nanti."

Ditanya mengenai jaringan sulung penyerang import, Christiano Santos, melalui sepakan penalti, Yusri mengakui cukup lega kerana kemarau jaringan pemain kelahiran Brazil itu sudah berakhir.

"Dia (Santos) sudah sembilan perlawanan tanpa gol biarpun jaringan itu hadir menerusi penalti. Kalau anda (media) perasan, saya tidak tengok dia ambil sepakan penalti kerana dalam latihan, dia gagal jaringkan gol.

"Jadi, saya pun hairan macam mana dia berani untuk tampil ambil sepakan. Saya hanya mampu berdoa kepada Allah. Akhirnya gol dan dia berjaya tamatkan kemarau jaringan. Alhamdulillah, kami dapat tiga mata di Kota Bharu," tambahnya.