Ketua jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail, mengakui kelalaian dan keletihan pemainnya menjadi faktor utama kekalahan 2-3 kepada Melaka United dalam saingan Kumpulan C, Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad Ke- IV, malam tadi.

Katanya, sekalipun berdepan dengan tekanan hebat peminat yang mahukan pemain The Red Warriors (TRW) bangkit segera menenbus kekalahan, pemainnya telah memberikan aksi terbaik dengan dua jaringan dalam separuh masa kedua.

“Skrip sama terus berulang dalam perlawanan wajib menang menentang Melaka United malam ini (tadi). Akibat kelalaian pemain, kami memberikan tiga gol mudah kepada lawan dalam babak pertama dan cuba bangkit semula dalam babak kedua.

“Kami terus menyerang dan berjaya mendapatkan dua gol, namun kebangkitan ini sudah terlambat. Pemain sudah memberikan yang terbaik, cuma mungkin faktor keletihan mengatasi segalanya,” katanya.

Ditanya kekalahan ini akan menutup terus peluang TRW ke peringkat suku akhir Piala Malaysia, Zahasmi enggan mengakuinya, malah menyifatkan dalam permainan bola sepak pelbagai kemungkinan boleh berlaku.

“Kami masih belum mengaku kalah, sebaliknya pemain TRW akan berjuang sehingga perlawanan terakhir menentang Kedah di Stadium Darulaman sambil mengharapkan UiTM melakar kejutan ke atas Melaka United dalam aksi terakhir kumpulan,” katanya.

Dalam saingan sengit malam tadi, penyerang import dari Korea Selatan, Jeon Woo Young, menjadi duri dalam daging kepada tuan rumah apabila berjaya menjaringkan dua gol pada minit kelima dan ke-31.

Penyerang sensasi Melaka, Marko Simic, terus menghukum kegugupan benteng pertahanan TRW apabila mudah menewaskan penjaga gol muda Kelantan, Mohd Ramadhan Abd Hamid, pada minit ke-33 untuk Melaka United selesa mendahului 3-0.

TRW membalas melalui jaringan penyerang, Khairul Izuan Rosli, dan pertahanan import, Mamadou Danso, untuk merapatkan jurang 2-3.

Kekalahan di gelanggang sendiri terus meningkatkan tekanan kepada skuad TRW dan kini mereka perlu bersedia menghadapi satu lagi perlawanan sukar Liga Super menentang Felda United, Sabtu ini.