Misi mengekalkan trofi Piala Malaysia musim ini diambil serius pemangku jurulatih Selangor, K. Gunalan, yang menuntut anak buahnya agar berwaspada terhadap skuad T-Team dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia, Sabtu ini.

Gunalan tidak menganggap skuad The Titans sebagai pasukan bawahan, apatah lagi selepas mereka berjaya menundukkan skuad Felda United dalam suku akhir kedua.

Baginya, barisan pemain Selangor perlu mencari bekalan yang meyakinkan untuk dibawa ke separuh akhir kedua di Kuala Terengganu, 14 Oktober depan, seterusnya memberi laluan sukar buat T-Team mara ke final.

"Misi untuk mengekalkan kejuaraan bukan mudah. Kami tidak boleh memandang rendah keupayaan T-Team yang menyingkirkan Felda.

"Bukan senang untuk mencari bekalan ke Kuala Terengganu nanti, jadi pemain-pemain tahu dan akan memberikan yang terbaik," jelas beliau.

Selepas menurunkan skuad kedua berdepan Perak dalam aksi Liga Super tempoh hari, kali ini Gunalan bakal melakukan rombakan di mana barisan pemain utama, khususnya, akan turun padang.

Apatah lagi, keadaan kapten pasukan, Shahrom Kalam, yang makin pulih daripada kecederaan dilihat bakal membantu pasukan.

"Pemain-pemain dalam keadaan OK kecuali tiga pemain yang tercedera ketika ini.

"Hafiz Kamal, Mauro (Olivi) sudah semakin pulih dan memulakan latihan selain daripada Shahrom.

"Saya rasa ini berita baik untuk kami."