Jurulatih Kedah, Nidzam Adzha Yusoff, menekankan peluang meraih sepakan penjuru akan dimanfaatkan sepenuhnya selain serangan balas pantas menjadi strategi skuad Helang Merah menjelang aksi kedua separuh akhir Piala Malaysia berdepan Felda United selepas aksi pertama menyaksikan Kedah memiliki kelebihan satu gol di tempat lawan.

Kedah bakal melayan kunjungan Felda malam esok dan Nidzam dilihat akan mempertaruhkan kelibat dua pemain muda, Syafiq Ahmad dan Farhan Roslan, untuk memperkemaskan barisan tengah dalam perlawanan di Stadium Darulaman.

Dia tidak mahu kerugian jaringan terus membelenggu anak buahnya dan mahu menggunakan sepenuhnya kelebihan jentera tengah yang dimiliki skuad Hijau Kuning walaupun kehilangan khidmat pemain import, Liridon Krasniqi, yang digantung perlawanan bersama kapten pasukan, Khairul Helmi Johari.

"Permainan Kedah yang menguasai bahagian tengah semestinya terjejas dengan ketiadaan Liridon, jadi kami akan lebih menyerang dari bahagian tepi dan serangan balas.

"Kelajuan Farhan dan Syafiq amat ditagih dalam perlawanan itu nanti," kata Nidzam.

Dua lagi tonggak utama, Sandro Da Silva dan Syazwan Zainon, juga tidak berada di tahap terbaik ekoran kecederaan yang dialami ketika aksi di pertama di Jengka, membuatkan Nidzam menyandarkan harapan penuh kepada Badrol Bakhtiar untuk memimpin permainan dengan menyerahkan tanggungjawab selaku kapten kepadanya.

"Jika dilihat pada perlawanan pertama, banyak peluang terbuka disia-siakan, jadi selepas ini setiap kesempatan harus dimanfaatkan.

"Saya yakin kejayaan boleh dicapai kalau perkara itu diperbaiki," tambahnya.