Sabah tidak memandang mudah cabaran Kelantan, sebaliknya mahu lebih berhati-hati bagi memastikan mereka tidak kecundang dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu, malam esok.

"Kami telah melakukan analisis rakaman semalam dan apa yang saya lihat Kelantan ialah sebuah pasukan yang bekerja keras," kata ketua jurulatihnya, Jelius Ating.

"Mereka (Kelantan) sebenarnya tidak memiliki pemain tertentu yang dilihat boleh membawa masalah kepada kami tetapi mereka memiliki satu pasukan yang boleh membawa masalah kepada kami, kami harus berhati-hati...mereka ini kuat berlari," tambahnya.

Sementara itu, Jelius berkata persiapan pasukannya untuk menghadapi perlawanan itu berjalan lancar walaupun memiliki masa yang agak singkat untuk menjalani latihan penuh.

"Kami hanya menjalankan latihan penuh semalam dan hari sebelumnya kerana perlawanan kami sebelum ini ditangguh ke hari Isnin.

"Bagaimanapun, kami telah menggunakan masa dua hari latihan itu sebaiknya dan saya juga gembira dengan prestasi pemain semasa latihan," katanya.

Beliau berkata kesemua pemainnya, khususnya tonggak utama, bebas daripada kecederaan dan sedia diturunkan malam esok.

"Pito (Hector Omar Ramos) telah kembali selepas menyertai pasukan negaranya dalam aksi persahabatan baru-baru ini, begitu juga dengan Hamran Peter yang kembali daripada membantu skuad Sukan Malaysia (Sukma) Sabah di Perak.

"Kesemua pemain setakat ini berada dalam keadaan baik, kami cuma harap tiada antara mereka yang mengalami kecederaan pada saat-saat akhir," katanya.

Bekas pemain berusia 47 tahun itu dijangka menurunkan semula kesebelasan utamanya selepas merehatkan tujuh tonggaknya dalam aksi terakhir di peringkat kumpulan bertemu Pahang di Stadium Likas, baru-baru ini.

Rozaimie Rohim dijangka kembali menjadi benteng terakhir Sabah dengan dibantu ketua pasukan, Rawilson Batuil, Francis Kasonde, Randy Baruh dan Alto Linus.

Pemain yang baru dipanggil menyertai skuad kebangsaan, Mohd Azzizan Nordin, juga akan kembali mengemudi bahagian tengah bersama-sama Sabri Sahar, Maxsius Musa dan Hamran.

Dua penyerang import, Ramos serta Rodoljub Paunovic, pula dijangka kekal sebagai pemburu jaringan buat Sang Badak.