Penyerang PKNS, Safee Sali, berasakan jaringannya ketika menewaskan PDRM 5-2 dalam aksi Kumpulan B, Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat, semalam, sebagai sesuatu yang istimewa kerana ia antara yang terbaik musim ini.

Tiga mata ke atas PDRM cukup besar maknanya buat PKNS kerana mereka satu-satunya pasukan yang menewaskan pasukan daripada Liga Perdana di pentas Piala Malaysia kali ini.

"Jaringan itu membantu pasukan meraih kemenangan. Apa yang penting, kami memperoleh tiga mata.

"Perlawanan itu membantu meningkatkan moral pemain bagi menghadapi aksi akan datang. Saya berharap saya dapat bermain lebih baik selepas ini," kata Safee.

Shahurain Abu Samah, yang menjadi antara pemain terbaik PDRM, mengakui mereka perlu segera bangkit melupakan kekalahan itu bagi mengharungi aksi akan datang.

Menurutnya, peluang buat PDRM belum tertutup dengan syarat mereka perlu meraih kemenangan apabila berdepan Felda United dan Melaka dalam dua perlawanan akan datang.

"Kami akan bangkit selepas ini. Tidak kira mereka skuad Liga Super, kami akan cuba melakukan yang terbaik.

"Insya-Allah. Setakat ini, semuanya bermain dengan baik. Cuma, lawan mengambil peluang daripada kesilapan mudah," katanya.