Selepas berehat lebih daripada sebulan, saingan Liga Malaysia diteruskan pada hujung minggu ini membabitkan aksi Piala Malaysia, dengan tumpuan terarah kepada persaingan merebut kedudukan teratas kumpulan dan baki slot ke peringkat suku akhir.

Tatkala PKNP FC sah muncul juara Kumpulan A dan Kedah hampir pasti mengungguli Kumpulan C, juara Kumpulan B dan D pula akan ditentukan Sabtu ini.

Perlawanan Kumpulan B menyaksikan perebutan di antara Perak dan Felda United yang akan berentap di Ipoh manakala Kumpulan D pula menyaksikan persaingan di antara dua gergasi, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor di Larkin.

Kelebihan tampak memihak Perak dan JDT selaku tuan rumah untuk memenangi perlawanan, namun sudah pasti skuad The Fighters dan The Red Giants juga berazam melakar kemenangan untuk mengelak sekadar menjadi naib juara kumpulan.

Tumpuan juga bakal terarah kepada beberapa pasukan yang mengintai slot akhir ke suku akhir, antaranya tiga pasukan dari Kumpulan A, Pahang, T-Team dan Negeri Sembilan.

Ketiga-tiga skuad itu berdepan misi wajib menang dalam aksi terakhir untuk menyertai pasukan-pasukan yang layak ke pusingan seterusnya.

Begitu juga Melaka dan Kelantan yang bersaing hebat dalam Kumpulan C untuk meneruskan kemaraan.

Pasukan sudah layak ke suku akhir Piala Malaysia

Kumpulan A:
• PKNP FC

Kumpulan B :
• Perak dan Felda United

Kumpulan C :
• Kedah

Kumpulan D :
• JDT dan Selangor